Wednesday, November 10, 2010

Penghijrahan Ramlah Ram

Kemunculannya pada separuh akhir Muzik-Muzik 25 malam kelmarin memberi kejutan kepada ramai, terutama peminatnya. Ramlah Ram, penyanyi kecil molek ini tampil dengan imej bertudung ketika menjadi artis undangan pada malam tersebut.

Penghijrahan dalam hidupnya ini membuatkan penyanyi yang popular dengan lagu 'Ketentuan' lebih yakin untuk meneruskan aktiviti nyanyiannya.

Mengikut jejak rakan artis yang lain seperti Anne Ngasri, Farah AF, Aida Khaleeda, Aishah dan ramai lagi menambahkan warna dalam industri hiburan tanah air. Biarpun masih aktif dalam industri tetapi perubahan mereka sedikit pun tidak mengurangkan aktiviti seni mereka.

Ramlah yang pernah memenangi anugerah Juara Lagu 1988 menerusi lagunya 'Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu' hadir menyanyikan dua buah lagu, 'Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu' dan 'Ketentuan'.
(Gambar)Imej Ramlah Ram di akhir 80 an dulu.

“Sebenarnya sudah lama saya berniat untuk memakai tudung terutamanya apabila melihat orang bertudung, jadi saya bermula secara perlahan-lahan memakai tudung.

“Keputusan yang saya ambil ini bukan atas dorongan mana-mana pihak. Ia lahir daripada hati saya dan saya rasa perkara seperti ini tidak perlulah diheboh-hebohkan, bimbang mengundang salah faham masyarakat.

“Selepas Malam Gala 25 Tahun yang diadakan pada awal Oktober lalu, saya mengambil keputusan untuk benar-benar memakai tudung. Apa yang boleh saya katakan, kini saya rasa lebih selesa dan tenang. Saya juga berharap ia akan berkekalan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, dia tidak menganggap imej bertudung akan menghalang dirinya untuk terus aktif dalam bidang seni. Malah fesyen tudung serta baju yang memenuhi tuntutan Muslimah kini mudah didapati.

“Saya tidak rasa jika kita bertudung ia akan menghalang untuk terus aktif di dalam bidang seni. Saya juga rasa peminat sekarang tahu menilai dan boleh menerima.

“Malah, semenjak saya bertudung, rata-rata memberi respons positif dan memberi sokongan padu kepada saya,” kata penyanyi yang sudah 25 tahun menceburi bidang seni suara.

Katanya lagi, masih ramai yang tidak menyedari dirinya sudah bertudung dan pada malam Separuh Muzik-Muzik kelmarin, kebanyakan artis yang berjumpa dengannya pada sesi raptai turut tidak menyedari dia sudah bertudung.

“Ketika saya bersalam dengan beberapa artis seperti Adibah Nor dan Shahir, mereka seperti tidak mengenali saya. Apabila saya sudah duduk, baru mereka perasan saya adalah Ramlah Ram,” katanya sambil tertawa.
(Gambar) Imej Ramlah Ram kini.

Tampil single terbaru

Bukan hanya berimej baru, malah artis kelahiran Johor ini turut tampil dengan single terbarunya yang berjudul Cinta Gila. Lagu ciptaan Ziemie ini bakal diperdengarkan dalam masa terdekat ini.

“Saya harap peminat dapat menerima lagu ini. Saya tak akan lari daripada konsep sebelum ini. Dalam masa yang sama saya sedang mengumpul bahan untuk lagu seterusnya,” katanya lagi.

Masih berminat untuk menerbitkan album, namun menurut Ramlah, tidak mahu terburu-buru kerana perlu memilih lagu yang benar-benar sesuai.

“Siapa yang tak mahu terbit album. Cuma buat masa ini, saya hanya akan melahirkan single,” katanya yang kini selesa hidup sendirian selepas bercerai tahun lalu.

sumber : sinar harian

1 comment:

Jery_Alid Misyahzniirf said...

penghijarahan dalam diri akan membawa kebaikan kepada sesuatu yang lebih baik ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Ping site Hypersmash.com