Friday, April 5, 2013

Sebab Noor Kumalasari Bertudung

Kisah Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung – Noorkumalasari | Profesion saya sekarang ialah pengurus rumah tangga. Dahulunya saya penghibur, artis, penyanyi, bintang filem, pelakon drama televisyen dan peragawati. Saya bersekolah di Singapura kemudian di Happy Garden, Petaling Jaya sehingga Tingkatan Lima aliran Perdagangan. Saya mula berhijab pada usia 40 tahun. Bagi saya kehidupan sebenarnya bermula pada usia 40 tahun.




Saya sentiasa bertudung walaupun di dapur! Inilah yang sebenarnya, bukan lakonan lagi. Sungguh menakjubkan bagaimana kita dapat ketenangan hanya dengan mematuhi perintah Tuhan. Tidak perlu berdalih-dalih lagi. Faktor yang mempengaruhi keputusan saya supaya bertudung ialah sebuah hadis yang mengatakan bagi setiap helai rambut yang terdedah kita akan diseksa selama 60 tahun di dalam neraka. Walaupun saya maklum ini hadis daif tapi ia menjadi perangsang kepada saya. Pastinya sumber yang pertama ialah daripada ayat 31 Surah An-Nur yang diterangkan oleh suami saya. Memandangkan ini perintah Tuhan, siapalah kita hendak menyangkalnya. Suami saya menasihatkan saya supaya menetapkan tarikh untuk mula bertudung. Katanya, “Awak tentukan bila, tapi pohonlah kepada Tuhan semoga dipanjangkan usia sehingga tarikh itu.”

Saya memilih saat pulang daripada mengerjakan haji tahun 1997. Saya bersyukur kepada Tuhan yang mengurniakan kesihatan bagi saya mengerjakan umrah pada tahun 1994 dan seterusnya haji di mana saya terpaksa meninggalkan anak keempat saya yang berusia 6 bulan. Pada masa itu, semuanya berlaku dengan pantas, ayah saya telah meninggal dunia di Mekah pada tahun sebelumnya Oleh kerana saya dikenali sebagai seorang yang sentiasa bergaya dan seorang artis yang sentiasa berani mencuba gaya baru, tidak ramai yang mengendahkan perubahan itu. Lagipun kami mula kurang menghadiri majlis-majlis, tidak seperti sebelumnya. Jadi tidak ramai yang sedar perubahan ini. Saya jauhi publisiti. Saya telah jalani kehidupan penuh glamour dahulu, cukuplah. Tidak perlu lagi kita mengulangi cara hidup seperti itu lagi. Ada juga yang menganggap perubahan itu disebabkan kami baru balik daripada umrah dan itulah alasannya.


(kumalasari bersama anak-anak)

Keputusan saya bertudung menerima maklum balas yang negatif, kecuali daripada suami saya. Semua yang lain menganggap saya dipaksa oleh suami saya. Jauh sama sekali! Cara suami saya mengajar saya mengenai Islam membuat saya bertambah-tambah cinta kepada Tuhan. Jika dia memaksa saya membuat sesuatu, mungkin saya akan buat juga tetapi perasaan cinta tentu tidak ada. Sampai setahun jugalah sebelum mereka itu berhenti daripada bertanya saya, “Awak tidak ho’ah?” Bukan sahaja saya bertudung malah saya rasa saya perlu berpakaian seperti yang dituntut Tuhan. Bajunya mestilah longgar, daripada kain berwarna suram dan tidak jarang, akhirnya muncullah fesyen yang menjadi identity saya – jubah hitam dengan tudung hitam lebar seperti yang dipakai wanita Arab. Kadangkala saya menambah lagi dengan mengenakan abaya pula. Mestilah berani untuk menjadi lain daripada yang lain.

Memang dari dulu lagi saya terkenal dengan selalu berpakaian hitam. Jadi saya lakukan semua ini kerana Tuhan, di samping gembira melakukannya. Salah satu kelebihan berpakaian begini ialah saya sentiasa siap sedia untuk ke masjid. Di mana saja saya berada, apabila terdengar seruan azan, saya terus ke masjid terdekat dan bersembahyang walaupun tidak membawa telekung. Ianya mudah sehinggakan sekarang ini saya sentiasa berwuduk. Ada juga mereka yang ikhlas yang sukakan penampilan saya sekarang, peminat saya akan datang memeluk saya apabila ternampak saya di tempat awam. Tentulah ini tidak akan berlaku jika saya tidak berubah. Seorang ahli perniagaan memberitahu suami saya, dia merasa terharu apabila saya berkata di televisyen, “Mujurlah Tuhan tidak mencabut nyawa saya semasa saya di kemuncak karier sebagai artis.” Sesetangah rakan selebriti juga ada yang minta saya doakan supaya mereka juga berubah seperti saya suatu hari nanti. Insya Allah, bukan sahaja saya mendoakan mereka, saya juga menangis untuk mereka. Tidak ramai yang tahu impian-impian mereka ini.

Di hati mereka, mereka juga insan yang baik. Saya tidak menerima reaksi negatif daripada yang bukan Islam kerana mereka menghormati agama kita sebagaimana kita menghormati sami-sami Budha yang memakai jubah kuning dalam mencari kesucian. Tidak pula begitu halnya dengan reaksi daripada semua Muslimah kita. Sesetengahnya suka menganggap mereka lebih baik daripada yang lain. Saya tidak memandang rendah kepada mereka. Saya hanya kasihan kepada mereka dan berharap Tuhan akan memberikan hidayah dan petunjuk kepada mereka supaya mereka sedar apa yang terlepas. Saya tidak merasa kurang diterima oleh masyarakat umum berbanding wanita yang tidak bertudung.

Saya boleh ke mana sahaja dengan bertudung. Tetapi mungkin juga kerana mereka mengenali saya lalu memberikan layanan yang baik. Tetapi sebenarnya personaliti di sebalik tudung itulah yang ‘berinteraksi’ dengan manusia. Tidak ada sesiapa yang menekan saya supaya bertudung, ia datang daripada desakan hati saya sendiri, bukannya tekanan luaran. Sebaliknya saya ada menerima tekanan supaya tidak bertudung, iaitu daripada pengeluar filem dan adik- beradik perempuan saya. Jenis pakaian pilihan saya ialah jubah hitam seperti wanita Arab. Sebelum ke Mekah saya tidak sukakan tudung. Waktu itu saya anggap cara wanita kita bertudung nampak tidak menarik. Saya tidak ingin langsung untuk bertudung.

Kita mestilah selesa dengan pakaian kita, barulah timbul keyakinan diri. Saya tidak pernah menerima apa-apa ajaran mengenai tudung daripada keluarga, sekolah dan masyarakat. Tidak ada, baik di sekolah mahupun daripada keluarga. Tidak terlintas langsung apa yang kami lakukan itu salah. Aneh, bukan? Dulu ahli keluarga saya tidak bertudung, sekarang ini ibu saya dan seorang saudara perempuan yang kadang-kadang pakai kadang-kadang tidak. Dalam keluarga betul saya yang satu ibu dan satu bapa, hanya saya seorang sahaja anak perempuan, alhamdulillah. Apabila saya mula bertudung, saya berasa malu dan rendah diri, kedua-duanya sifat mulia dalam Islam.

 sumber : blog peribadirasulullah & fuh.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Ping site Hypersmash.com