Sunday, March 28, 2010

'Saya pernah jadi mangsa konspirasi'

KUALA LUMPUR 27 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya licik merancang konspirasi termasuk dengan menggunakan akuan bersumpah.

Oleh itu, katanya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung konspirasi mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaaribu.

Menurut Dr. Mahathir, beliau sendiri turut menjadi mangsa Anwar yang bijak bermuka-muka di hadapannya tetapi secara diam-diam merancang konspirasi menjatuhkan beliau.

"Dia pernah membuat konspirasi untuk menjatuhkan saya, semua orang tahu dia arah orang serang saya, kata saya ada kroni tetapi Anwar sendiri berpura-pura baik (sebagai) orang nombor dua dalam Kabinet.

"Belakang saya dia lakukan tetapi di depan saya kami boleh duduk semeja, itulah dia, jadi saya tidak pelik dengan tuduhan bahawa dia ada konspirasi untuk menjatuhkan Najib," katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang pertama, di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat, Zulkifli mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan warga Mongolia tersebut.

Tanpa mendedahkan pihak terlibat, Zulkifli berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Dr. Mahathir pada sidang media itu juga turut membidas Anwar kerana mempersoalkan salah seorang anaknya yang tersenarai sebagai antara orang terkaya di negara ini sedangkan ia berlaku selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.

Beliau turut menempelak Anwar kerana telah mengkayakan kawan-kawannya sewaktu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada pertengahan tahun 90-an.

"Ada seorang kawan dia memiliki kekayaan RM239 juta, kalau jadi Perdana Menteri macam itulah (lagi teruk) sebab baru jadi Timbalan Perdana Menteri kawan-kawan dia semua jadi kaya, banyak duit juga tapi tidak tahulah dari mana," katanya.

Dalam isu berasingan, Dr. Mahathir menyifatkan Pas telah bersubahat dengan Anwar dalam budaya fitnah dan pembohongan apabila Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar perbuatan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kerana mendedahkan rahsia impian 16 September.

"Nik Aziz kata Zahrain tak patut dedah perbuatan jahat yang dilakukan, jika kita tahu benda itu salah tapi kita tak ambil tindakan untuk mendedahkan kesalahan, itu semacam bersubahat.

"Nik Aziz sokong Zahrain jangan dedah, jadi dia bersubahat dengan Anwar," tegasnya.

Sumber : Akhbar Utusan Malaysia

1 comment:

mr and mrs ace said...

oh sori..kami ta percaye dgn akhbar.lagi2 utusan..;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Ping site Hypersmash.com